CORETAN TENTANG PANTAI
Hari ini sengaja aku ke pantai berdekatan rumahku kerana ingin mencari sedikit ketenangan, kedamaian serta menghilangkan kerunsingan yang bersarang di minda. Cuaca petang itu amat baik sekali tidak seperti hari-hari sebelumnya. Cahaya matahari terang-benderang memancar ke setiap pelosok muka Bumi Allah S.W.T ini, sedikit sebanyak membuatku gerah, namun tidak mengapa kerana aku sudah lama tidak bermandi peluh. Aku berjalan perlahan setelah keluar dari perut kereta sambil melihat keadaan sekitar. Aku sudah mengerti dengan pola kedatangan pelancong ke kawasan Pantai Pengkalan Balak ini yang sentiasa penuh dengan pengunjung dan pelancong. Aku perhatikan satu persatu tingkah laku manusia. Mereka kelihatan begitu gembira, mungkin kawasan tempat tinggal mereka tidak ada pantai sebegini.
Ramai di antara mereka yang memilih untuk berendam di dalam air masin Selat Melaka itu, namun ramai juga yang memilih untuk berkelah, memancing, berniaga dan mencari hasil laut yang tertanam di dalam pasir. Aku perhatikan sebuah keluarga yang berhampiran dengan tempat aku berdiri. Keluarga kecil itu kelihatan gigih memasang tenda berwarna biru hanya kerana ingin menikmati pemandangan pantai. Aku sapa wanita pemilik tenda biru itu kerana ingin meminta izinnya untuk mengambil gambar dan syukurlah dia memberikan kebenaran dengan senyuman yang ramah. Aku berbual seketika dengannya kerana ingin menghabiskan sedikit masa terluangku.
Setelah meminta izin berpamitan, aku melangkah kecil lagi tanpa arah tujuan dan aku berhenti di sebuah bangsal yang menempatkan banyak bot nelayan. Aku sentuh sebuah bot berwarna unggu itu sambil memikirkan betapa banyaknya jasa bot tersebut terhadap tuannya dalam mencari rezeki. Aku mula memikirkan tentang erti kehidupan. Pada pemikiranku sebuah bot juga mampu memberikan manfaat kepada pemiliknya dan bagaimana pula dengan manusia? Adakah aku sudah cukup berbakti kepada Penciptaku? Sejujurnya aku sendiri tiada jawapan.
Monolog batinkuku terhenti seketika apabila
terdengar bunyi hon kereta yang begitu bingit di pendengaranku. Aku toleh untuk mencari jawapan dan ternyata pemilik kereta itu marah kepada
seorang budak yang membawa motosikal secara tidak berhemah. Aku mengeluh
melihat ketidakakuran manusia kepada peraturan. Aku pandang jam yang terletak
elok di pergelangan tangan dan ternyata jarum jam sudah menujukkan waktu 6:30 petang. Aku kira
cukuplah waktu berjalan-jalanku tanpa arah tujuan ini dan aku pun bergerak
pulang.
Ulasan
Catat Ulasan