PARKINSON
Hari ini hatiku terdetik untuk membelek gambar-gambar yang telah lama bersemayam di dalam galeri telefon bimbitku. Tujuannya, aku hanya ingin membuang beberapa gambar yang tidak penting kerana memori telefonku sudah hampir penuh. Sedang aku leka memerhatikan satu persatu gambar, mata aku tertancap kepada sekeping gambar pelamin. Itu merupakan gambar pelamin perkahwinan sahabat baikku yang berkahwin pada 16 September lalu.
Kami berkawan baik sejak di bangku sekolah rendah dan boleh dikatakan agak rapat. Aku dan sahabatku itu, membesar bersama-sama sehingga ke hari ini namun sayangnya dia tidak mampu meneruskan pembelajarannya atas sebab-sebab tertentu. Namun, aku bersyukur kerana dia telah bertemu dengan belahan jiwanya dan melangsungkan perkahwinan meskipun dia baru menginjak usia 21 tahun.
Pada 16 September tersebut, aku dan dua lagi rakanku ke rumahnya bagi menghadiri majlis tersebut. Kami dipertanggungjawabkan untuk menjaga dulang hantaran dan membantu pengantin perempuan. Meskipun hati ini dirundung sedikit sebak kerana mengenangkan kami mungkin akan sukar untuk meluangkan masa bersama selepas ini, namun aku masih lagi membantunya sebaik mungkin. Selepas acara akad nikah selesai, aku perhatikan tema perkahwinannya yang ringkas namun masih lagi mampu menarik hati. Segala persiapan baik dari pelamin, hantaran hingga sepersalinnya suami isteri semuanya bertemakan warna putih. Warna yang sungguh suci pada pengamatanku. Kuharap warna itu juga sesuci cinta mereka hingga ke anak cucu. Aamiin. Aku juga perhatikan tetamu yang hadir pada hari itu. Rakanku tidak dapat menjemput ramai tetamu ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini. Aku amati seorang demi seorang sehingga mataku tertancap kepada seorang lelaki yang sudah lanjut usianya. Lelaki itu duduk di atas kerusi roda yang ditolak oleh seorang lelaki muda. Rupa parasnya sedikit gelap dan kusam serta berkeriput dimamah usia. Namun, bukan itu yang menarik perhatianku. Tangan, kaki serta badannya yang sedikit bergetar itulah yang menarik perhatianku.
Sifat ingin tahuku mula bergejolak dalam diri. Aku tanyakan kepada rakanku tentang penyakit yang dihidapi orang tua tersebut dan jawapan yang aku terima ialah "Dia mungkin penghidap penyakit parkinson, Haz". Aku terpana seketika sambil otakku ligat berfikir. Aku sering mendengar nama penyakit itu, tambahan lagi aku juga pernah mempelajarinya semasa berada di tingkatan lima semasa kelas Biologi dahulu. Penyakit itu sedikit sebanyak menarik perhatianku dan mungkin akan menjadi asbab kepada penulisanku kemudian hari.
Ulasan
Catat Ulasan