PERLINDUNGAN
Pernahkah kita terfikir bagaimanakah perasaan orang-orang yang tinggal di rumah perlindungan?
Sejujurnya aku sendiri tidak pernah terdetik untuk mengetahui tentang kehidupan mereka. Namun, memandangkan latar tempat cerpenku berkisarkan tentang tempat-tempat sebegini, aku gagahi juga mencari serba sedikit maklumat tentang pusat jagaan atau rumah perlindungan orang-orang tua di laman sesawang. Sebelum menonton video yang aku temui, aku sematkan dalam mindaku agar tidak menontonnya hanya sekadar mencari maklumat semata-mata, sebaliknya aku akan cuba menghayati kesedihan yang mereka alami. Aku amati satu persatu video-video yang dipaparkan. Bagiku video yang dihidangkan di youtube tersebut semuanya menunjukkan kehidupan para penghuninya yang penuh dengan kedukaan dan keperitan hidup. Aku biarkan tangisan dan getaran suara mereka yang perlahan itu bergentayangan dalam benakku. Aku benarkan juga diriku terbawa suasana yang dipaparkan agar aku mudah meresapi segala emosi mereka. Sesekali air mataku menjadi murah dan turut menitik ke bumi. Aku rela membazirkan air mataku demi mendalami karakter yang bakal aku lakarkan dalam cerpenku nanti. Aku mahukan yang terbaik. Aku mahukan pembaca mengetahui betapa suramnya kehidupan watak utama yang bakal aku persembahkan.
Di sini aku pautkan juga bersama video tentang kehidupan para penghuni rumah-rumah sebegini agar ia mampu menjadi pedoman buat kita semua dalam menghargai kehidupan.
Ulasan
Catat Ulasan