Abdulrazak Gurnah- Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021
Abdulrazak Gurnah merupakan seorang pengarang kulit hitam yang dilahirkan di Zanzibar, Tanzania. Beliau telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 2021 dimana kemenangannya itu telah diumumkan oleh Akademi Sweden kerana kekritisannya dalam menulis karya-karya yang berkisarkan nasib pelarian dan kolonialisme.
Abdul Razak Gurnah menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah lagi. Beliau dikatakan sering menanti-nantikan kelas penulisan berbanding kelas mata pelajaran lain. walau bagaimanapun, beliau tidak pernah terfikir secara serius untuk menjadi seorang pengarang seperti kini. Beliau menganggap menjadi seorang jurutera akan lebih berjaya dan berguna untuk masa hadapannya. Namun, takdir telah menentukan segalanya. Minatnya terhadap bidang penulisan ini akhirnya telah membuka satu ruang kerjaya buatnya. Minat menulis Abdulrazak Gurnah dikatakan semakin bertambah sewaktu dia melarikan diri ke Britain semasa berusia 18 tahun. Beliau melarikan diri kerana berlakunya pemberontakan ganas di tanah airnya. Perasaan sedih, rindukan kampung halaman dan ditambah belenggu kemiskinan mendorongnya meluahkan perasaan yang terbuku di dada dalam bentuk coretan. Coretan demi coretan membuatkannya semakin meminati bidang ini sehingga terhasil sebuah novel pertamanya yang berjudul Memory of Departure yang diterbitkan pada tahun 1987. Beliau terus berkarya dari masa ke masa sehingga menghasilkan pelbagai karya lain seperti Pilgrims Way, Paradise dan Dottie. Di dalam karya-karyanya, beliau sering menceritakan tentang kepahitan hidup yang dilalui oleh mangsa-mangsa perang yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan harta benda. Beliau juga tidak segan silu menggambarkan kekejaman dan penganiayaan yang dilakukan oleh para penguasa bejat.
Menurut Abdulrazak Gurnah, menulis dengan jujur itu merupakan perkara yang paling tepenting. Beliau berpendapat sedemikian kerana merasakan para penulis bertanggungjawab untuk mendedahkan kepada pembaca tentang apa yang tidak pernah kita diketahui, terselindung dan tidak pernah dilihat oleh dunia. Selain itu, beliau juga berpendapat menulis tidak boleh bersandar kepada perjuangan dan polemik semata-mata, sebaliknya penulis harus mengarap karya mereka sebaik mungkin agar hasil yang dipersembahkan lebih bersifat menyegarkan dan menghiburkan. Karya yang bersifat sedemikian rupa, sudah pastinya akan mendatangkan minat yang mendalam dalam diri pembaca untuk menulusi karya-karya lain yang ditulis oleh seseorang pengarang itu. Pandangan yang diutarakan oleh Abdulrazak Gurnah berkenaan bidang penulisan ini, jelas menunjukkan bahawa beliau sememangnya seorang penulis yang matang dan berkaliber. Tidak hairanlah beliau mampu bertahan dalam bidang ini selama beberapa dekad dan memenangi anugerah tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan